Bekas Timbalan AMK En Jaya Ramba
BELIAU MERUPAKAN SEORANG PENULIS TERKENAL. SILA LAYARI BLOG BELIAU. Jayaramba.blogspot.com 
MIRI: Salah seorang bekas orang kuat Parti Keadilan  Rakyat (PKR), kini sedang dalam usaha membantu menubuhkan Kelab  Penyokong UMNO di sini, sebagai tanda sokongan kepada kerajaan Barisan  Nasional (BN) yang diterajui oleh parti itu (UMNO).
Timbalan Ketua  Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jaya Ramba yang telah meletak  jawatan secara rasmi dalam parti pembangkang itu pada 5 Januari lalu  dalam satu kenyataannya memberitahu bahawa beliau kini masih belum  menyokong mana-mana parti komponen BN di peringkat negeri.
Namun  di peringkat pusat, Jaya memberitahu beliau telah dilantik menjadi wakil  untuk menubuhkan Kelab Penyokong UMNO di Miri, berikutan sokongan yang  semakin meningkat di kalangan masyarakat terutama pengundi terhadap  parti itu di utara negeri ini.
“Walaupun berpihak kepada BN  selepas keluar daripada Keadilan, namun buat masa ini saya masih belum  bersedia untuk menyertai mana-mana parti komponen BN di peringkat  negeri.
“Namun saya mengakui ada menerima tawaran daripada parti komponen BN namun belum mempertimbangkannya.
“Bagaimanapun  buat masa ini saya telah dilantik menjadi wakil untuk menubuhkan Kelab  Penyokong UMNO di sini. Pada masa ini kelab tersebut hanya ada di  Kuching dan Miri yang dijangka ditubuhkan dalam masa terdekat,” katanya.
Bercakap  kepada Utusan Borneo di sini semalam, beliau memberitahu, sudah  mempunyai senarai 3,000 nama untuk menjadi ahli Kelab Penyokong UMNO  Miri dan jumlah itu dijangka meningkat apabila kelab berkenaan  dilancarkan dalam sedikit masa lagi.
Mengenai peletakan jawatannya dalam PKR, Jaya memberitahu, beliau telah hilang kepercayaan terhadap parti itu dan kepimpinannya.
Malah  katanya, beliau amat kesal kerana parti itu dan pemimpinnya ‘sangat’  meragui kehadiran beliau dalam parti yang dipergunakan semata-mata  sebagai agenda politik pihak-pihak tertentu memperolehi sokongan  semata-mata bagi memenangi parti.
“Saya tidak mahu berjuang atas  kepentingan seorang pemimpin yang bersalah. Saya tidak mahu berjuang  dalam parti yang banyak mengucar-kacirkan ketenteraman negara dan saya  tidak mahu menjadikan masyarakat berbilang kaum berpecah-belah,” tambah  beliau.
Jaya memberitahu, beliau juga berhasrat untuk membongkar  niat jahat dan mengungkaikan strategi kotor parti itu pada pilihan raya  akan datang.
“Dengan ini juga saya sanggup membawa ratusan penyokong PKR menyertai parti pemerintah di Sarawak,” katanya.
SUMBER : UTUSAN BORNEO 
. 

No comments:
Post a Comment