Saturday, 7 May 2011

Masing harap pencapaian PRS diberi pengiktirafan


KUCHING : Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) disarankan untuk mempertimbangkan pertambahan jawatan di dalam Kabinet Negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri kepada calon Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Presiden PRS Dato Sri James Masing berkata, penganugerahan sedemikian adalah sewajarnya bagi mengiktiraf kejayaan PRS pada pilihan raya negeri lepas.

“PRS telah melakukan yang terbaik, kami menang lapan daripada sembilan kerusi dipertandingkan dan itu menjadikan kami parti kedua terbesar dari segi jumlah calon yang dipilih di Sarawak.

“Sebab itu, saya merasakan pucuk pimpinan BN baik di peringkat negeri mahupun pusat harus mempertimbangkan perkara ini sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian PRS,” katanya.

Beliau ditemui sempena majlis kesyukuran bagi meraikan kemenangan BN dan calon PRS pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, di sini malam kelmarin.

Menurut Menteri Kemajuan Tanah itu, pengiktirafan tersebut juga adalah sebagai menghargai sumbangan masyarakat Dayak khususnya di luar bandar yang telah memastikan kemenangan BN.

“Kerajaan harus mengiktiraf sumbangan masyarakat Dayak ini, kalau tidak, ini akan menimbulkan masalah kepada BN untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” kata Masing.

Sementara itu, Setiausaha Politik di Pejabat Ketua Menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi PRS, Wilson Ugak Kumbong dalam ucapannya sempena majlis kesyukuran tersebut yang diadakan di The Banquet, di sini turut memberikan saranan sama terhadap pucuk pimpinan BN.

“Kali ini PRS telah mendapat mandat kedua terbanyak dalam kerajaan BN.

“Oleh itu, saya berharap presiden PRS dapat dipertimbangkan untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri dan pertambahan jawatan menteri dan menteri muda dalam kabinet negeri supaya dapat menguatkan lagi BN,” katanya.

SUMBER : UTUSAN BORNEO


No comments:

Post a Comment