Monday, 11 April 2011

Pembangkang Pembohong besar, kata Taib


Pakatan perlu bayar pampasan RM5b untuk tunai janji kembalikan tanah 1 juta hektar

BELURU: Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan parti lawan pembohong besar kerana berjanji mengembalikan tanah seluas sejuta hektar yang ditanam dengan kelapa sawit termasuk tanah hak adat Bumiputera (NCR) kepada pemiliknya.

Taib berkata, jika benar parti lawan mahu berbuat demikian, mereka perlu membayar pampasan kira-kira RM5 bilion, yang mana jumlah itu terlalu besar untuk mereka.

“Persoalannya, di manakah parti lawan hendak cari duit sebanyak itu untuk membayar pampasan? Dan bagaimana pula mereka hendak membayar pelabur, kerana jika tidak dibayar pelabur pula yang muflis.”

“Parti lawan memang senang bercakap, tapi sebenarnya ia sukar dilakukan oleh mereka yang tidak faham ekonomi,” katanya semasa melancarkan projek pembangunan NCR Selepin-Bok Bakong Beluru di sini semalam.

Lebih 3,000 hadir pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi Sylvester Entri Muran dan isteri serta Setiausaha Tetap kepada Menteri Pembangunan Tanah, Jaul Samion.

Ujar Taib, Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS hanya pandai berkata-kata dan menabur janji-janji manis, diskriminasi, hipokrit bahkan tidak bijak mentadbir negeri sendiri seperti Pulau Pinang dan Selangor.

“Pembangkang hanya pandai bercakap dan mengkritik kerajaan Sarawak sedangkan mereka sendiri tidak pandai menguruskan negeri yang ditadbir mereka seperti Pulau Pinang dan Selangor.

“Sebagai contoh, Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa mereka sudah berjaya memajukan Pulau Pinang, tapi sebenarnya kemajuan itu adalah hasil Ketua Menteri sebelum ini iaitu ketika pemerintahan Barisan Nasional,” ujarnya.

Tambahnya, bahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang 16 tahun berada dalam BN dan juga semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan pada tahun 1990-an telah gagal membawa sebarang kemajuan untuk Sarawak.

“Sepanjang menjadi Menteri Kewangan, dia (Anwar) tidak pernah mengeluarkan wang sesen untuk geran, namun kini becakap lebih kuah dari sudu. Cuba lihat di Permatang Pauh, bandar Betong lebih maju,” katanya.

Mengenai pilihan raya kali ini, Taib berkata janji parti lawan hanya untuk meraih sokongan serta undi rakyat dan mereka sebenarnya tidak mampu menunaikan janji itu walaupun menang pilihan raya nanti.

Sehubungan itu beliau mengingatkan rakyat khasnya kaum bumiputera agar terus bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan tanah NCR untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar.

No comments:

Post a Comment