Harakah keadilan Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan

Thursday, 3 March 2011

Pelan majukan kawasan terpencil


BINTULU: Kerajaan negeri sedang merangka pelan induk khusus untuk memajukan Hulu Baram dan Kapit, dua kawasan terpencil di negeri ini sebagai destinasi pelancongan, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya rangka rancangan ini akan berkisar kepada pelancongan berasaskan kebudayaan dan alam sekitar.

Menurutnya sebuah jawatankuasa khas yang dipenge-rusikannya sendiri akan ditubuhkan untuk menjalankan kajian menyeluruh berhu-bung rancangan itu.

Katanya Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pembangunan Tanah Dato Sri Dr James Masing dan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit akan turut menganggotai jawatankuasa itu.

Manakala ketua-ketua masyarakat di Hulu Baram dan Kapit akan turut diserapkan ke dalam jawatankuasa itu nanti, jelasnya.

“Kajian akan dimulakan selepas selesai pilihan raya negeri nanti dan pelaksanaan akan dimulakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat di Dewan Suarah Bintulu di sini, semalam.

Taib yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak berkata dalam tempoh 20 tahun akan datang, Sarawak akan memiliki tempat pelancongan yang cantik, air terjun, gunung serta flora dan fauna sebagai tapak penting dalam memelihara warisan alam untuk generasi akan datang.

Katanya, Kapit merupakan wilayah yang istimewa dan disebabkan itu kerajaan akan menubuhkan pasukan khusus yang tahu mengenai hutan dan keadaan alam semula jadi di kawasan itu bagi mengimbangi pembangunan dan alam semula jadi supaya dapat dinikmati generasi seterusnya.

Katanya, apabila Empangan Hidroelektrik Bakun beroperasi sepenuhnya, akan ada beratus-ratus pulau di Bakun.

“Tasik Bakun yang lebih besar daripada Singapura serta memiliki pulau-pulau kecil bukan sahaja akan menjadi satu kawasan yang cantik bahkan akan menjadi tarikan pelancongan untuk sukan air, kapal layar, pembangunan perumahan dan pelbagai aktiviti lain,” tambahnya.

Taib berkata perancangan ini bakal memberi faedah kepada penduduk di dua kawasan itu yang agak ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching.

Menurutnya kedua-dua kawasan itu juga mempunyai sejarah kebudayaan yang unik kerana menjadi penempatan terawal etnik Orang Ulu dan Iban.

Katanya, kekayaan warisan, asal usul dan tinggalan sejarah di Kapit sewajarnya dipelihara.

“Disebabkan itu sebanyak RM5 juta diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 untuk Muzium Sara-wak bagi memelihara khazanah warisan yang ada di bahagian Kapit bagi mengekalkan identiti dan asal usulnya,” katanya.

Beliau turut menyatakan mengenai usaha kerajaan negeri untuk menjalankan kajian bagi pembiakan dan penternakan ikan empurau di satu kawasan yang jauh dari bandar supaya ikan-ikan itu tidak pupus.

Terdahulu seminar anjuran Jabatan Ketua Menteri dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) bertemakan ‘Kepim-pinan Akar Umbi Teras Pembangunan’ itu disertai 718 ketua-ketua masyarakat di bahagian Bintulu dan Kapit.

Isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perancangan dan Pengurus Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Pembangunan Tanah Dato Sri Dr James Masing dan menteri-menteri muda turut hadir dalam majlis itu.

sumber: borneo post

No comments:

Post a Comment